Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, mengakui terkejut dengan berita pemecatan pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui, menjelang Piala Dunia 2018.

Kelmarin, Real Madrid mengesahkan Lopetegui akan memegang jawatan pengendali skuad Los Blancos sebaik sahaja saingan di Russia tamat, sekali gus mengejutkan banyak pihak.

Sehari kemudian, Sepanyol mengumumkan bahawa Lopetegui telah dipecat daripada status ketua jurulatih La Roja sambil Fernando Hierro akan mengemudi pasukan bagi saingan Piala Dunia.

Tugas pertama Hierro semestinya memastikan Sepanyol mampu menjuarai saingan Kumpulan B, bermula dengan mendapatkan kemenangan ke atas Portugal pada awal pagi Sabtu ini, namun Low tetap terkejut dengan berita tersebut.

"Saya terkejut kerana perkhabaran itu hadir secara tiba-tiba," kata Low menjelang aksi pertama Kumpulan F bertemu Mexico, Ahad ini.

"Saya tidak begitu arif dengan maklumat terperinci mengenai keputusan Persatuan Bolasepak Sepanyol. Ia jarang berlaku.

"Bagaimanapun, segalanya mesti diteruskan. Hierro adalah pengendali yang berpengalaman dalam bidang kejurulatihan, terutama ketika menjadi pembantu pengurus bersama Real Madrid. Dia hadir ke Valencia sebelum menjadi pengarah sukan tetapi saya tidak boleh menghakimi kualitinya.

"Sepanyol telah bersatu selama bertahun-tahun dan mereka memiliki falsafah yang jelas. Lihat sahaja kesan daripada Madrid dan Barcelona kepada skuad kebangsaan.

"Setiap pemain mengenali antara satu sama lain dengan baik dan menjalankan tugas dengan cemerlang dalam beberapa tahun, jadi sama ada bersama Lopetegui atau tidak, mereka tetap tidak kehilangan kualiti yang dimiliki."