JERMAN 3 RUSSIA 0

Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, memuji jaringan cantik Leroy Sane dalam kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Russia dengan pemain sayap Manchester itu meraih jaringan antarabangsa pertama dalam aksi persahabatan di Leipzig, awal pagi tadi.


Gol pembukaan Sane seakan-akan memberikan jawapannya kepada Low yang meminggirkan pemain itu dalam saingan Piala Dunia sebelum ini.

Niklas Sule dan Serge Gnabry turut menjadi penjaring dalam kemenangan yang amat diperlukan Die Mannschaft itu.

Low berkata dia gembira menyaksikan barisan pemainnya melakukan gerakan ke dalam yang turut menyaksikan Sane dan Gnabry memanfaatkan hantaran jauh menarik daripada pemain-pemain tengah sebelum menjaringkan gol.

"Kami bermain baik dalam babak pertama, kami menguasai permainan," katanya kepada wartawan.

"Sebelum ini, kami dikritik hebat kerana tidak bermain ke dalam seperti itu. Kami mampu melakukannya dalam beberapa situasi.

"Kami membina dinamik dan menghasilkan dua gol yang cantik.

"Kami melakukan perubahan dalam babak kedua dan ia mengganggu rentak kami.

"Ia suatu yang normal kerana gerakan kami tidak begitu baik selepas itu," tambahnya.

Low turut memuji pemain tengah Beyer leverkusen, Kai Havertz, yang menyumbang kepada penguasaan permainan pasukan, termasuk bantuan jaringannya kepada Gnabry.

Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan tiga gol daripada 11 penampilan Bundesliga musim ini.

"Dia mengagumkan saya hari ini.

"Dia mengawal permainan dengan baik dan bijak mengatur serangan," katanya.

Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov, mengakui pasukannya terkejut dengan corak permainan pantas yang dipamerkan Jerman.

"Kami bermain baik dalam separuh masa kedua.

"Kami tidak bersedia menghadapi corak permainan pantas yang digunakan Jerman dalam babak pertama.

"Mereka bermain dengan sangat agresif," katanya.