JERMAN 1 REPUBLIK 0

Pengurus Jerman, Joachim Low, memuji barisan kedua yang meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan pemanas badan berdepan Republik Czech di Leipzig, awal pagi tadi, tetapi ia tidak beerti tempat mereka dalam Die Mannschaft terjamin.


Jaringan Gian-Luca Waldschmidt dalam separuh masa pertama terbukti cukup untuk Jerman menjana kemenangan kedua mereka dalam enam perlawanan pada tahun ini, kejayaan itu hadir menerusi pertahanan PSV Eindhoven, Philipp Max, yang membuat kemunculan pertama.

Max dan seorang lagi muka baru, Ridle Baku, menampilkan persembahan mantap termasuk Florian Neuhaus di bahagian tengah sementara Robin Koch bertindak sebagai pertahanan tengah, namun Low memberi bayangan bahawa barisan yang lebih mantap akan kembali dipertaruhkan untuk pertemuan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) berdepan Ukraine dan Sepanyol.

"Kami tidak akan melakukan banyak berubah dalam pertembungan itu kelak," katanya kepada RTL.

"Barisan pemain ini mungkin tidak akan dikekalkan. Namun, mereka yang terlibat telah memperagakan aksi yang sengit.

"Kami tampil bagus dalam separuh masa pertama sementara dalam babak kedua, kami gagal menjaringkan gol tetapi dapat mempertahankan kedudukan 1-0, jadi kami boleh berpuas hati."



Bekas pemain muda Bayern Munich yang pernah mewakili Schalke, Karlsruher dan Augsburg sebelum bergabung dengan PSV, Max, acap mencetuskan masalah buat Republik Czech terutama ketika menghidu peluang untuk jaringan kemenangan Waldschmidt.

Dia berkata: "Saya sangat bangga dapat membuat kemunculan antarabangsa pada hari ini. Ia juga merupakan hari yang sangat istimewa buat keluarga dan rakan saya."

Juara 2014 itu menunjukkan kegoyahan di bahagian benteng yang menyaksikan mereka dibolosi tujuh kali dalam tiga perlawanan terdahulu, tetapi pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan, yang bertindak selaku ketua pasukan di Red Bull Arena, segera mempertahankan rakan-rakannya di peringkat antarabangsa.

"Kesalahan adalah perkara biasa," kata Gundogan.

"Anda harus memaafkan pemain muda terutama yang membuat penampilan sulung.

"Kami mampu berpuas hati dengan kemenangan ini."