Joachim Low menganggap sepakan penalti yang diraih Perancis pada penghujung permainan ketika Jerman tewas 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA itu merupakan keputusan yang salah.

Perancis bangkit untuk melakar kemenangan hasil dua jaringan Antoine Griezmann selepas Toni Kroos meletakkan Jerman di depan menerusi sepakan penalti.

Gol kemenangan Les Bleus disudahi Griezmann menerusi sepakan penalti ketika perlawanan berbaki 10 minit apabila Mats Hummels terlanggar Blaise Matuidi dalam kotak penalti dan pengadil, Milorad Mazic, melakukan keputusan yang memihak Perancis di Stade de France.

Low tidak meragui Perancis bernasib baik walaupun beliau beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan menganggap pasukannya tidak jauh ketinggalan kepada juara dunia itu.

"Ia bukan sepakan penalti," kata Low kepada ARD selepas perlawanan berakhir. "Hummels tidak menyentuhnya, Matuidi yang terpijak kaki Hummels.

"Kami jelas setaraf dengan dengan juara dunia dalam perlawanan ini tetapi kami sepatutnya menjaringkan gol kedua dalam separuh masa pertama.

"Malangnya, kami tidak mendapat ganjaran bagi satu persembahan yang baik. Jika kami lebih bijak sedikit, kami harus mendapat gol kedua dan memenangi perlawanan ini."

Jerman sedang dalam usaha untuk bangkit daripada kekalahan 3-0 kepada Belanda dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, Sabtu lalu, dan Low melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utamanya bagi perlawanan ini.

Di sebalik perubahan itu, Low menegaskan pemain-pemain berpengalamannya masih lagi memiliki peranan untuk pasukan.

"Perancis tidak mampu menangani susunan kami dalam separuh masa pertama. Mereka gagal mencari ruang kerana kami berjaya menyukarkan mereka.

"Selepas tewas kepada Belanda, adalah jelas pasukan memerlukan perubahan. Kami cuba menggabungkan pemain berpengalaman dengan yang muda. Pemain-pemain lebih berusia belum lupa bagaimana untuk bermain bola sepak," tambahnya.