Jurulatih Jerman, Joachim Low, mengesahkan beliau akan membuat perubahan untuk perlawanan menentang Brazil, Rabu ini, dengan pemain Manchester City, Ilkay Gundogan dan Leroy Sane, bersedia untuk memulakan aksi di Berlin ketika Emre Can meninggalkan kem itu.

Berikutan seri 1-1 dengan Sepanyol di Dusseldorf semalam, juara dunia itu meneruskan persediaan untuk mempertahankan mahkota mereka di Russia dengan persembahan berprofil tinggi di laman sendiri.

Dengan Mesut Ozil dan Thomas Muller tidak bersama skuad, Low sudah membuat perubahan kepada pasukan yang memulakan perlawanan menentang Sepanyol.

Bagaimanapun, dengan peluang yang terhad untuk mencuri tumpuan sebelum mengumumkan senarai akhir 23 pemain, bos Jerman itu memahami keperluan untuk membuat penggiliran dalam skuadnya.

"Saya mahu memilih Marvin Plattenhardt untuk perlawanan ini," kata Low selepas perlawanan menentang Sepanyol.

"Saya rasa Ilkay Gundogan akan bermula dan begitu juga Leroy Sane. Sudah tentu, saya boleh membuat penggantian semasa perlawanan," ujarnya.

Can tidak beraksi di Stadium Olimpik selepas Jerman menerusi akaun Twitter rasmi mereka mengumumkan bahawa pemain tengah itu masih direhatkan akibat kecederaan belakang.

Sementara itu, Can kini kembali ke Liverpool untuk menerima rawatan lanjut, Sebastian Rudy pula menyertai skuad selepas terlepas aksi menentang Sepanyol kerana menyambut kelahiran anaknya.