Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low berang dengan pasukan kendaliannya selepas tiga kali dibolosi selepas mendahului ketika seri 3-3 dengan Turki dan menolak cadangan kepenatan adalah alasan.

Kenan Karaman menjaringkan gol dalam masa kecederaan ketika aksi persahabatan awal pagi tadi untuk menafikan jaringan Gian-Luca Waldschmidt pada minit ke-81 dan menyaksikan tuan rumah tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan bagi tahun 2020.

Julian Draxler dan Florian Neuhaus turut meletak Jerman di hadapan pada awal perlawanan hanya untuk Ozan Tufan dan Efecan Karaca kembali menyamakan kedudukan.

Jerman turut melepaskan kelebihan satu jaringan ketika seri dengan Sepanyol dan Switzerland bulan lalu, dan Low mengakui ia adalah isu yang perlu pasukannya mencari jalan penyelesaian.

"Masalah ini sudah lama wujud," katanya. "Pasukan ini, di mana tidak pernah beraksi bersama seperti ini, tidak boleh dipersalahkan.

"Ia juga berlaku kepada pemain-pemain lain juga. Saya sangat kecewa dan berang."

Jerman melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama dan hanya diberikan waktu yang terhad ketika berada di padang latihan ekoran jadual saingan yang padat.

Bagaimanapun, Low tidak mencari alasan di sebalik keputusan seri ketiga di Cologne, di mana hanya 300 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan ini.

"Masalah kepenatan bukan dijadikan sebab keputusan ini. Ia bukan alasan atau penjelasan," katanya lagi.

"Ia mengenai kegagalan mengawal permainan, menggunakan peluang dengan sebaik mungkin, pasukan hilang bola dengan mudah di kawasan yang tidak sepatutnya.

"Ia sekaligus membuka peluang pasukan lawan untuk menghasilkan jaringan."