Pengendali Jerman, Joachim Low, tidak menyembunyikan kekecewaannya selepas melihat rekod tanpa kalah selama 22 perlawanan lebur ketika tewas 1-0 di tangan Brazil, awal pagi tadi.

Aksi ulangan kepada separuh akhir Piala Dunia 2014 itu dipisahkan dengan jaringan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus, yang membolehkan skuad kendalian Tite itu menebus kekecewaan empat tahun lalu.

Anak-anak buah Low tampak buntu dalam setiap serangan sehingga membenarkan Brazil memalukan mereka di depan penyokong sendiri.

"Ia bukan persembahan yang baik. Setiap pemain berdepan masalah. Jumlah kesilapan mudah yang terlalu banyak membuatkan Brazil menjadi lebih kuat.

"Dalam aksi persahabatan, bagus untuk mencuba setiap perkara baru kerana keputusan bukan tujuan utama tetapi kami berdepan masalah kerana kerap melakukan kesilapan dalam hantaran," kata Low.

Dalam masa sama, kecederaan yang menimpa Jerome Boateng membuatkan Bayern Munich bimbang akan khidmatnya menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah bertemu Sevilla, namun Low percaya masalah yang melanda pemain berusia 29 tahun itu tidak akan mengambil masa yang lama.

"Dia berdepan sedikit masalah dengan kaki. Saya mengeluarkannya sebagai langkah berjaga-jaga dan ia tampak tidak serius," ujarnya.