BARCELONA 5 REAL MADRID 1

Julen Lopetegui sedar beliau harus bertanggungjawab atas prestasi Real Madrid, namun tetap yakin mampu mengubah nasib pasukannya.


Madrid hanya menang sekali daripada tujuh perlawanan terakhir selain dibelasah 5-1 oleh seteru ketat, Barcelona, tengah malam tadi yang menguatkan lagi laporan bahawa Lopetegui bakal dipecat.

Bekas jurulatih Sepanyol itu bertekad untuk menjulang Madrid daripada ambang kejatuhan, begitupun beliau mengakui keputusan bukan terletak di tangannya.

"Saya berasa sedih pada masa ini tetapi saya mempunyai kekuatan untuk terus mengendalikan kumpulan ini," kata Lopetegui dalam sidang akhbar selepas perlawanan. "Ini adalah tamparan yang sukar tetapi saya tahu segala-galanya boleh diubah.

"Terdapat banyak cara untuk bangkit dan saya berkeyakinan tinggi terhadap kumpulan pemain ini. Kami telah mengalami nasib seperti ini sejak beberapa minggu yang lalu, namun semua nasib buruk ini akan berakhir.

"Sebagai jurulatih, saya perlu menggalas tugas dan cuba memperbaiki pasukan ini. Pasukan ini mempunyai masa depan pada musim ini, ia boleh berjaya.

"Kita semua tahu bagaimana dunia bola sepak berfungsi dan tanggungjawab terakhir terletak kepada jurulatih. Saya bukannya bodoh tetapi di sini, kami menang dan kalah bersama, kami masih di peringkat awal musim ini."

Lopetegui percaya Madrid hampir mengubah permainan sebelum tiga lagi gol menyusul memberi kelebihan kepada Barca.

"Cukup sukar. Kekalahan sentiasa sukar, khususnya menentang Barcelona," katanya. "Kami berasakan bahawa kami boleh mengubah keputusan permainan. Kami mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan dan menang.

"Kami lebih baik dalam separuh masa kedua dan mempunyai peluang untuk kembali memberi saingan dengan menjaringkan gol, malah percubaan kami terkena tiang.

"Terdapat beberapa insiden tidak memihak kami. Kami dilanda kecederaan manakala gol ketiga memusnahkan harapan kami. Pada 3-1, ia sudah berakhir. Hukuman ini terlalu melampau."