Pengendali Real Madrid, Julen Lopetegui, meyakinkan Gareth Bale bahawa dia mampu mengetuai barisan serangan baru selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo.

Bale memberi bayangan untuk meninggalkan Los Blancos selepas dua gol daripadanya menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara Eropah ketika menundukkan Liverpool pada Mei lalu, tatkala dia tampak kecewa kerana pengurus ketika itu, Zinedine Zidane, tidak memberikannya tempoh permainan yang cukup.

Kekecewaan pemain berusia 29 tahun itu ditambah dengan spekulasi perpindahan ke Manchester United, namun sejak itu, Zidane telah meninggalkan Santiago Bernabeu, digantikan Lopetegui dan Ronaldo melengkapkan perpindahan EUR112 juta (RM532 juta) ke Juventus.

Lopetegui, bekas ketua jurulatih Sepanyol yang pernah menyarung jersi Madrid ketika bergelar pemain, kini merancang untuk membina pasukan gergasi LaLiga itu berteraskan pengaruh Bale.

"Ketika saya menandatangani bersama pasukan ini, Ronaldo masih milik Madrid tetapi dia menyatakan hasrat untuk berpindah tidak lama kemudian," ujar Lopetegui.

"Sebagai jurulatih, semestinya ia satu cabaran yang menyeronokkan untuk membina pasukan tanpa Ronaldo.

"Saya menghargai salah seorang pemain paling penting dalam sejarah pasukan dan pihak kelab menyanjung legasi yang ditinggalkannya.

"Dalam masa sama, kami yakin Bale bakal mengharungi tahun yang hebat dan kami menjangkakan persembahan gemilang daripadanya. Kami akan bekerjasama untuk membantunya mencapai tahap tertinggi."

Madrid dikaitkan dengan beberapa nama bintang untuk menggantikan tempat pemenang lima kali Ballon d'Or itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real Madrid.

Neymar, Eden Hazard dan Kylian Mbappe menjadi sasaran yang dikenal pasti sambil penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol.

Bercakap mengenai pertemuan dengan Manchester United dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa pada Rabu ini di Stadium Hard Rock, Lopetegui berkata: "Kami berbesar hati dengan skuad yang kami miliki dan yakin mampu mencabar semua objektif yang ditetapkan. Tiada jalan lain buat Madrid.

"Kami mahu menjadi pasukan yang hebat di atas padang. Jika seorang pemain tidak datang atau pergi, saya adalah pengurus yang gembira. Berbekalkan barisan yang ada, kami mampu mencapai sasaran yang diperlukan Madrid."