DEPORTIVO ALAVES 1 REAL MADRID 0

Julen Lopetegui menegaskan beliau tidak khuatir mengenai kedudukannya di Real Madrid meskipun anak buahnya tewas 0-1 kepada Deportivo Alaves dalam aksi ketiga daripada empat perlawanan membabitkan Los Blancos.


Manu Garcia menjaringkan gol pada penghujung permainan untuk Alaves melengkapkan kemenangan mengejut bagi menyamai pungutan 14 mata yang dilakar Madrid.

Los Blancos kini telah mengharungi tiga perlawanan LaLiga tanpa menjaringkan gol buat kali pertama sejak Mei 2002 sementara keputusan awal pagi tadi merupakan kekalahan keempat berturut-turut mereka dalam kesemua pertandingan, ia berlaku kali pertama sejak 1985.

Bagaimanapun, Lopetegui tetap yakin bahawa pasukannya akan bangkit menemui semula rentak sebenar tidak lama lagi.

"Seorang jurulatih tidak memikirkannya (dipecat)," kata Lopetegui dalam sidang akhbar.

"Kami sedar ini bukan tempoh yang baik dan yang paling teruk, kami tercicir tiga mata di belakang (sekiranya Barcelona mengalahkan Valencia, awal pagi esok).

"Sudah tentu, ketenangan fikiran akan datang dengan jaringan.

"Secara logiknya, kami kecewa. Kami mahu menang, saya fikir kami memulakan permainan dengan baik seperti yang kami inginkan tetapi secara faktanya kegagalan kami menyumbat gol telah menghukum kami.

"Saya juga memberitahu anda bahawa kekalahan adalah hukuman yang berlebihan. Kami perlu cuba bangkit, kami berdepan banyak masalah kecederaan.

"Hari ini dua pemain saya tercedera,. Kami sedar kami tidak berada dalam keadaan yang baik tetapi kami berada pada bulan Oktober dan kami mahu bangkit secepat mungkin untuk menang.

"Jurulatih sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada pasukan dan pemainnya, namun saya tidak meragui bahawa mereka telah memberikan yang terbaik, saya fikir mereka telah mempamerkan sikap yang sangat baik."

Madrid berpeluang untuk bangkit apabila berdepan Levante selepas rehat antarabangsa nanti.