Pengurus Sevilla, Julen Lopetegui, meramalkan Manchester United akan mempunyai masa depan yang "luar biasa" tetapi menegaskan pasukannya memang berhak untuk mara ke perlawanan akhir Liga Europa.

United tumbang 1-2 di Cologne awal pagi tadi untuk mengakhiri musim ini dengan kekecewaan terkandas kepada juara lima kali termasuk dua gelaran edisi Piala UEFA, Sevilla, di peringkat separuh akhir.

Selepas babak pertama seimbang yang menyaksikan Bruno Fernandes dan Suso masing-masing menyumbang satu gol untuk kedua-dua pasukan, anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu garang dalam separuh masa kedua dan mencipta banyak peluang.

Namun, mereka gagal menembusi Yassine Bounou yang memainkan watak penting dan tatkala impian United mulai pudar, Sevilla menghukum mereka menerusi serangan balas -- Luuk de Jong meledak gol pemisah ketika 12 minit menuju masa kecederaan.

Lopetegui tetap yakin bahawa gergasi dari England itu meniti di jalan yang positif sungguhpun yakin Sevilla memang berhak untuk ke final.

"Ia satu corak bertahan untuk bersaing berdasarkan kemampuan yang sering kami lakukan," katanya kepada Movistar.



"Manchester United merupakan pasukan terbaik di England selepas kembali menyambung aksi, mereka mempunyai masa depan yang luar biasa di depan mereka.

"Terdapat beberapa pasukan yang mampu mengimbangi United. Dalam separuh masa pertama, kami berjaya mengawalnya manakala pada awal babak kedua pula, kami tidak melakukannya tetapi Bounou begitu tangkas. Kemudian corak permainan adalah seimbang dan kami mempunyai kesempatan untuk menghukum mereka.

"Saya sangat gembira buat pemain dan peminat. Kami adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dihadapi dan kami memang layak meraih ganjaran.

"Kami telah mencapainya dan sekarang kami perlu berehat. Apabila anda mara ke final, apa yang anda mahukan adalah memenanginya."

Sevilla akan bertemu sama ada Inter atau Shakhtar Donetsk dalam final awal pagi Sabtu ini.