Julen Lopetegui berkata dia gembira dengan keberkesanan jentera serangan Sepanyol walaupun skuadnya kehilangan dua mata ketika bertemu Itali dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 pada Khamis.

La Roja membuka jaringan hasil percubaan Vitolo pada minit ke-55 sebelum Itali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Daniele De Rossi pada penghujung perlawanan.

Sepanyol, yang sebelum ini berjaya mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Liechtenstein 8-0, ternyata mengagumkan Lopetegui kerana berjaya mempamerkan aksi cemerlang.

"Saya berpuas hati dengan bilangan gol dan keberkesanan dalam menjana peluang, kami telah menjaringkan sembilan gol dalam dua perlawanan rasmi," jelas Lopetegui

"Kami telah cuba menghasilkan beberapa peluang ke atas Itali, memiliki 13 sepakan sudut dalam perlawanan ini adalah satu usaha yang baik."

Lopetegui berharap Sepanyol mampu menjaringkan gol ketika berdepan Albania.

"Albania adalah pesaing yang hebat, mereka telah mempamerkan kualiti mereka ketika beraksi dalam Euro, pada Jun lalu. Kami perlu memberikan yang terbaik."