Lopetegui lebih yakin walaupun wujud laporan dipecat

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2018 108
Lopetegui lebih yakin walaupun wujud laporan dipecat
Pengurus Real Madrid, Julen Lopetegui, menegaskan dia dalam situasi lebih bermotivasi selepas Real Madrid tewas 1-2 di tangan Levante semalam di sebalik laporan dia bakal dipecat semakin hangat.

Madrid ketinggalan 2-0 selepas 13 minit beraksi dan walaupun mengasak untuk mencari gol penyamaan susulan gol pertama daripada Marcelo, skuad Los Blancos itu tidak dapat mengelak daripada ditimpa kekalahan keempat dalam lima perlawanan bagi semua kejohanan.

Sebelum perlawanan, laporan mengatakan Lopetegui diberikan tempoh sehingga pertemuan El Clasico menentang Barcelona minggu depan untuk menyelamatkan dirinya.

Pemecatan itu tampak semakin hampir berlaku tetapi Lopetegui yang baru dilantik Julai lalu menegaskan dia tidak menghiraukan sebarang spekulasi yang timbul.

"Ketika ini, ia adalah perkara terakhir yang akan saya fikirkan," kata Lopetegui.

"Apa yang saya mahu adalah pemain perlu bangkit dengan segera dan mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan seterusnya tatkala kami mempunyai tiga hari sebelum berdepan Viktoria Plzen dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya berasa lebih bermotivasi berbanding sebelum ini untuk meneruskannya kerana pemain sudah melupakan apa yang berlaku di atas padang.

"Tidak kira bila, kami akan bangkit. Kami tahu ketidakadilan dalam bola sepak yang melanda kami tetapi apa yang berubah adalah dinamik.

"Bilik persalinan sangat sedih tetapi kami memiliki keinginan untuk bangkit dan menghadapi aksi seterusnya. Pasukan memberikan segala kudrat dan akan melupakan apa yang berlaku sebelum ini untuk mengatasi semua masalah," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen