Lopetegui boleh dipecat jika terus longlai

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2018 484
Lopetegui boleh dipecat jika terus longlai
Pengendali Real Madrid, Julen Lopetegui, akan dipecat pasukannya jika terus melalui keputusan buruk, kata Michael Essien.

Lopetegui menyaksikan Madrid melalui rekod jaringan terburuk sejak 1985 tatkala Los Blancos gagal meraih sebarang gol dalam empat aksi terakhir bagi semua kejohanan.

Madrid tewas di tangan Sevilla dan Deportivo Alaves bagi aksi LaLiga sementara CSKA Moscow menundukkan juara Eropah itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus memberikan tekanan buat pengendali yang mencipta sensasi selepas dipecat skuad kebangsaan Sepanyol sejurus sebelum bermula Piala Dunia 2018.

Kapten Madrid, Sergio Ramos, menegaskan ia sesuatu yang gila jika memecat Lopetegui sambil pertahanan, Nacho Fernandez, melaungkan semangat bahawa seluruh pasukan sanggup bermati-matian demi bekas pengurus Porto itu.

Lopetegui menafikan kebarangkalian untuk dipecat tetapi Essien, pemain yang dipinjamkan ke Madrid bagi musim 2012/13, berpendapat pengurus itu boleh dipecat jika prestasi pasukan tidak dapat ditingkatkan.

"Real Madrid adalah salah satu pasukan terbesar, jadi anda boleh bayangkan tekanannya," kata Essien.

"Ia adalah kelab besar dan jika anda gagal mendapatkan keputusan baik, anda tahu apa yang bakal berlaku."

Essien diingati ketika beraksi selama sembilan musim buat Chelsea, pasukan yang memecahkan rekod dunia bagi seorang penjaga gol apabila mendapatkan Kepa Arrizabalaga daripada Athletic Bilbao, Ogos lalu.

Bekas pemain tengah Ghana itu berpuas hati melihat bagaimana pemain Sepanyol itu menyesuaikan diri di Stamford Bridge.

"Setakat ini, semuanya bagus. Diharapkan dia akan meneruskan aksi terbaik," tambah Essien.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen