Ruben Loftus-Cheek berasakan penampilan sulungnya untuk England ketika bertemu Jerman merupakan proses pembelajaran buat dirinya dan dia kini meletakkan sasaran untuk mendapatkan tempat ke Piala Dunia Russia 2018 pada musim panas akan datang.

Pemain berusia 21 tahun itu merupakan antara lima pemain The Three Lions yang membuat penampilan sulung dan Loftus-Cheek telah memberikan persembahan terbaik selepas diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Mengambil peluangnya sebaik mungkin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jordan Henderson dan Dele Alli, Loftus-Cheek kini merancang untuk terus mengekalkan persembahan terbaik bagi mendapatkan tempat beraksi di Russia."Penampilan sulung ini boleh menjadi lebih baik -- jika kami menang, ia merupakan satu keputusan yang sangat cemerlang," katanya.

"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar berdepan Jerman. Ia merupakan satu pertembungan penuh dengan taktikal. Saya sememangnya telah banyak belajar dalam perlawanan ini.

"Pemain-pemain lain turut beraksi dengan cemerlang. Saya berjaya menyesuaikan diri dan mereka telah memberikan peluang untuk saya mempamerkan aksi yang terbaik.

"Untuk ke Piala Dunia, musim masih lagi panjang dan saya berharap untuk terus memperbaiki kualiti permainan sehingga penghujung musim ini," ujarnya.