Ruben Loftus-Cheek bertekad untuk mempamerkan aksi lebih konsisten bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama selepas meledak hatrik ketika mmebantu Chelsea merakam kemenangan 3-1 ke atas BATE dalam saingan Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang sentiasa dilepas pandang memberikan pesanan kepada Maurizio Sarri selepas dia meledak dua gol dalam tempoh hanya lapan minit sejak sepak mula sebelum melengkapkan hatrik lapan minit sejurus perlawanan bersambung.

Aleksey Rios meraih gol sagu hati buat BATE tetapi kemenangan ini bermakna Chelsea telah memungut mata maksimum dalam tiga aksi kumpulan.

Pemain kebangsaan England, Loftus-Cheek, menyifatkan persembahan cemerlangnya itu tidak akan menggugat tumpuannya bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Tumpuan utama saya adalah bermain dengan baik dan mencari jalan untuk terus kekal dalam kesebelasan utama pasukan," katanya.

"Saya perlu mengekalkan pemakanan, rehat dan berlatih dengan baik untuk terus mendapatkan peluang beraksi.

"Pengurus mahukan kemenangan dan saya sangat gembira membantu pasukan dengan meledak hatrik," katanya.

Skuad bimbingan Sarri kini mengalihkan tumpuan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Burnley, Ahad ini.