Jose Mourinho berkata prestasi Giovani Lo Celso membenarkan Tottenham membuat 'keputusan mudah' untuk menandatanganinya secara tetap.

Aksi cemerlang Lo Celso membantu Son Heung-min menjaringkan gol buat Spurs yang seri 1-1 dalam pusingan keempat Piala FA berdepan Southampton semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu turut meledak gol sebelum ia dibatalkan dan Mourinho yakin pemain itu telah membuktikan kemampuannya untuk kekal bersama Spurs selepas dipinjam sepanjang musim daripada Real Betis dengan pilihan untuk membelinya.

"Ia bukan satu kewajipan, ia adalah pilihan. Saya berasakan pemain itu telah membuktikan kepada kelab untuk menandatanganinya secara tetap," kata Mourinho.

"Dia memudahkan kelab ini untuk membuat keputusan. Persembahannya semakin meningkat sejak saya tiba di sini.

"Sebelum ini, dia bergelut ketika turun berdepan Red Star Belgrade kerana baru sahaja bersama pasukan ketika itu.

"Tetapi dia memahami apa yang diperlukan pasukan. Seorang pemain yang sentiasa mahu memperbaiki kemampuannya."

Heung-min pula telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut sejak penyerang utama, Harry Kane, mengalami kecederaan.

Mourinho, yang bakal menghadapi aksi timbal balik saingan Piala FA berdepan The Saints berkata: "Kesemua penyerang memerlukan kegembiraan menjaringkan gol.

"Saya berasakan setiap pemain beraksi dengan cemerlang dan akan kembali berdepan Southampton untuk perlawanan berikutnya."




Editor: Ammar Hakim