LEVERKUSEN 0 TOTTENHAM 0

Wira Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, menganggap pasukannya boleh berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu mempamerkan ketangkasan di depan gawang pada babak kedua -- termasuk menepis percubaan Javier Hernandez -- untuk pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu memungut satu mata dalam perlawanan Kumpulan E itu yang berlangsung di BayArena.

Spurs memiliki lebih banyak peluang pada separuh masa pertama dengan percubaan Dele Alli gagal menemui sasaran sebelum rembatan Vincent Janssen dinafikan oleh tiang gol, namun Lloris memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong apabila berdepan asakan tuan rumah pada separuh masa kedua.

"Kami boleh berpuas hati dengan satu mata ini," katanya kepada BT Sport. "Kami terlepas beberapa peluang menarik pada babak pertama dan di peringkat ini, andai anda gagal menjaringkan gol, anda akan berdepan kesukaran.

"Separuh masa kedua berubah, mereka memberi kami tekanan dan kami agak bergelut. Maka, satu mata adalah keputusan yang baik.

"Kami kental bertahan dan bahagian tengah juga sangat kukuh. Saya rasa kami boleh mengucapkan tahniah kepada semua orang, kami perlu menikmati hasil satu mata ini kerana ia perlawanan yang sukar."

Lloris menyelamatkan peluang Hernandez dari jarak dekat pada awal separuh masa kedua, di mana pembantu pengadil kelima membuat keputusan tepat untuk tidak mengiktiraf gol Leverkusen kerana mendakwa bola itu belum melepasi garisan gol.

"Ya, itulah keputusan teknologi -- anda perlukan sedikit tuah dalam situasi tersebut dan kali ini saya menyelamatkannya," kata Lloris lagi.

"Ia detik penting tapi ia bukan satu-satunya. Saya lebih senang untuk bersikap positif kerana kami mempamerkan permainan yang bagus dan kami patut menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

"Kami amat menghormati Leverkusen. Mereka merupakan antara pasukan terkuat di peringkat kumpulan ini dan seperti kami, mereka gemar berlari dan memberi tekanan. Jadi, ia perseteruan yang hebat."