Khidmat Hugo Lloris mungkin terpaksa dilupakan oleh Tottenham Hotspur selepas pengendali Perancis, Didier Deschamps, menjelaskan kapten pasukannya itu akan diketepikan sekurang-kurangnya 15 hari akibat kecederaan otot.

Pemain berusia 30 tahun itu berlaga dengan Sergio Ramos ketika Spurs melayan kunjungan Real Madrid di Stadium Wembley, semalam dan mengalami hentakan pada otot kakinya.

Ketua pasukan Spurs itu meneruskan perlawanan sehingga aksi ditamatkan tetapi Deschamps terpaksa mengetepikannya daripada senarai skuad Les Bleus selepas melakukan proses ujian.

Spurs masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tetapi selepas Deschamps menjelaskan perkara itu, Lloris berkemungkinan besar akan terlepas aksi menentang Crystal Palace pada Ahad dan mungkin turut terlepas perlawanan bertemu Arsenal pada 18 November.

"Lloris menerima kecederaan secara sendiri," kata Deschamps.

"Dia melalui proses imbasan pada pagi ini dan disahkan mengalami koyak pada ototnya.

"Jika Lloris berada dalam pasukan, saya tetap akan memberikan peluang kepada Steve Mandanda kerana penting untuk memberikannya beraksi."

Perancis akan bertemu Wales di tempat sendiri dalam aksi persahabatan pada 10 November sebelum bertandang ke Jerman, empat hari kemudian.