STANDARD LIEGE 2 ARSENAL 2

Pengurus sementara Arsenal, Freddie Ljungberg, kagum dengan pemain berusia 18 tahun, Bukayo Saka, yang menyelamatkan pasukannya untuk mengikat Standard Liege dalam Liga Europa awal pagi tadi.


Saka memaparkan aksi individu cemerlang dengan menjaringkan gol penyamaan Arsenal untuk mengikat Standard 2-2 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stade Maurice Dufrasne itu.

Pemain sayap remaja itu turut menghasilkan hantaran lintang yang ditanduk masuk Alexandre Lacazette dari jarak dekat untuk pasukan kendalian Ljungberg itu bangkit daripada ketinggalan dua gol dan meraih satu mata.

Ia membantu The Gunners mengesahkan tempat selaku peneraju Kumpulan F dengan 11 mata, dua mata di depan pasukan di tangga kedua, Eintracht Frankfurt, dan akan menjadi salah satu pasukan pilihan dalam majlis undian pusingan 32 Isnin ini.

"Dia amat hebat," kata Ljungberg mengenai Saka dalam sidang media selepas perlawanan.

"Bola daripada sentuhan terakhirnya amat efektif.

"Dia berasa sedikit kecewa sebelum perlawanan kerana saya meletakkannya di posisi pertahanan sayap.

"Dia mempunyai bakat besar.

"Saya berasa kasihan dengan pemain muda kami.

"Kebanyakan mereka tidak pernah dipinjamkan.

"Mereka tidak mendapat pendedahan dalam saingan utama.

"Sesetengah mereka melakukan kesilapan tetapi mereka akan belajar daripada kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya.

"Tetapi Bukayo telah memperoleh malam gemilangnya," katanya.

Prestasi yang dipamerkan Arsenal turut dipengaruhi ketidaktentuan barisan pertahanan dengan Ljungberg memilih untuk mempertaruhkan nasib pasukannya di tangan pemain muda ketika berdepan Standard.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Sweden berusia 42 tahun itu mahu menumpukan terhadap cara pasukannya bangkit untuk menyamakan kedudukan.

Dia menambah: "Saya amat berbangga dengan kesemua mereka.

"Mereka telah menunjukkan keyakinan bahawa mereka boleh bermain.

"Ia bagus untuk masa depan kami, mereka terus berusaha dan tidak mahu berhenti.

"Kami mungkin kalah tetapi kami mengubahnya.

"Ketika kedudukan 2-2, kami boleh memenanginya 3-2 tetapi saya dapat maklumat mengenai keputusan satu lagi perlawanan, jadi ia sudah mencukupi.

"Sudah pasti ia satu perjudian kecil tetapi saya percaya dengan senarai pemain muda ini dan mereka melayakkan kami sebagai pasukan di tangga teratas," katanya lagi.