Jurgen Klopp mengakui Liverpool tidak terbeban membawa status sebagai juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah ketika mereka akan memulakan misi untuk mempertahankannya dengan kunjungan ke Napoli awal pagi esok.

Pasukan itu dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali keenam selepas menewaskan seteru senegara, Tottenham Hotspur, 2-0 di Madrid, Jun lalu.

Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti, menganggap pendahulu Liga Perdana Inggeris itu sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan itu, namun Klopp berhajat untuk mencipta sejarah yang lebih besar di Anfield.

"Kami tidak rasakan bebanan itu, ia sudah terlalu lama (kami memenanginya)," katanya dalam sidang media.

"Kami belum berbincang tentang mempertahankan kejuaraan.

"Sehingga Sabtu lalu, kami hanya fokus terhadap pertemuan dengan Newcastle (United) dan kami mempunyai sesi (latihan) semalam, begitu juga hari ini.

"Kami akan berbincang mengenai kejohanan ini kemudian.

"Adakah pasukan lain akan memaparkan aksi berbeza ketika berdepan kami? Saya tidak tahu.

"Saya tidak pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebelum itu. Saya harap kami bersedia tentang itu.

"Anda tidak dapat bayangkan betapa normal untuk membawanya selepas keraian itu -- jika anda mempunyai perwatakan yang tepat. Kami mahu mencipta lebih banyak sejarah pada masa akan datang.

"Jika anda mula mabuk dan mengambil dadah, memandu kereta berbeza dan meninggalkan isteri di rumah kerana anda adalah juara Liga Juara-Juara, itu semua tidak akan membantu," katanya.

Liverpool tewas ketiga-tiga perlawanan di laman lawan di peringkat kumpulan musim lalu, termasuk ketika tewas 0-1 kepada Napoli di Stadium San Paolo.

Klopp menjangkakan satu lagi perlawanan sukar dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Naples itu, di mana tuan rumah berkenaan hanya tewas sekali daripada tujuh perlawanan terakhir Liga Juara-Juara.

"Tahun lalu, kami berdepan cabaran peringkat kumpulan yang amat sukar dan tewas semua perlawanan di laman lawan -- kami mahu menggunakan tahun ini untuk melakukan yang lebih baik.

"Napoli telah memperoleh musim yang hebat dan memulakan musim baru dengan amat baik.

"Mereka memiliki pemain baru yang bagus tetapi kekal dengan kualiti yang sama. Kami juga begitu, cuma kami tidak banyak membeli pemain baru.

"Napoli amat degil dengan cara yang positif. Mereka kreatif. Saya gemar untuk menganalisis mereka.

"Bolehkah saya memastikan perkara seperti itu tidak berlaku lagi? Tidak, namun pemain kami tidak menunjukkan sebarang petanda untuk saya memikirkannya.

"Ayuh gunakan kemahiran kami, kekal dalam permainan dan berjuang untuk segala-galanya," tambahnya.

Liverpool gusar dengan tahap kecergasan pertahanan kiri, Andy Robertson, menjelang perlawanan itu sambil Divock Origi sudah sah tidak akan diturunkan.

"Robbo tidak berlatih hari ini dan kami akan menentukannya kemudian," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Ia bukan perkara serius, ia hanya kerana kami lebih berhati-hati hari ini, namun ia belum pasti 100 peratus (sama ada dia akan diturunkan atau tidak).

"Kami perlu melakukan ujian esok dan melihat keadaannya.

"Origi? kami menjangkakan dia memerlukan satu atau dua minggu lagi (untuk kembali beraksi), namun ia bergantung kepada bila dia mampu untuk menangani kesakitan itu," katanya lagi.