Liverpool 'terlalu mahukan kemenangan' ke atas Manchester United awal pagi tadi hingga membuatkan kami mudah dibolosi, menurut Jurgen Klopp.

Selepas rekod tanpa kalah di laman sendiri berakhir di tangan Burnley, Liverpool meratapi kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 3-2 dalam aksi Piala FA di Old Trafford.

Bruno Fernandes hadir sebagai pemain gantian untuk meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma dalam perlawanan yang menawarkan kualiti antara dua kelab utama Liga Perdana Inggeris itu.

Mohamed Salah meledak kedua-dua gol Liverpool, sementara Mason Greenwood dan Marcus Rashford menemui sasaran sebelum Fernandes menyumbat gol kemenangan.

United sekadar meraih 41.6 peratus kawalan permainan tetapi berjaya menyamai bilangan percubaan Liverpool (14) dan enam tepat ke sasaran.

Dua jaringan pertama United terhasil menerusi serangan balas.

"Terdapat banyak perkara yang positif dan beberapa kesilapan dalam perlawanan ini. Jika anda mahu menang di sini, anda perlu berada di tahap terbaik," kata Klopp.

"Untuk jaringan pertama, kami tidak melakukan halangan yang secukupnya, kami terlalu mahukan kemenangan dalam perlawanan ini. Perkara ini seharusnya tidak berlaku tetapi ia terjadi."


Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bakal berdepan West Ham -- dan bekas pengendali United, David Moyes -- dalam pusingan kelima Piala FA, sementara mereka bersenang-lenang di puncak liga ketika ini.