Pengurus Flamengo, Jorge Jesus, berkata Liverpool telah meninggalkan kesan dalam dunia bola sepak menjelang final Piala Dunia Kelab di Qatar awal pagi esok.

Juara Eropah itu mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 10 mata dan tidak pernah tewas dalam kesemua kejohanan sejak 3 Januari lalu.

Tetapi mereka memerlukan gol lewat permainan Roberto Firmino untuk menewaskan Monterrey dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab manakala Flamengo kendalian Jesus pula mudah mengesahkan kemaraan ke final dengan membenam Al-Hilal 3-1.

Wakil Amerika Selatan itu mengesahkan tempat dalam Piala Dunia Kelab selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan River Plate dalam final Copa Libertadores.

Jesus, yang juga bekas jurulatih Benfica dan Sporting CP, berasakan terdapat persamaan di antara Flamengo dan Liverpool menjelang pertemuan final berkenaan.

"Bukan mudah untuk kita membandingkan dua pasukan yang baik," katanya dalam sidang media.

"Benar, Liverpool mempunyai sejarah yang bebat, terutama dalam beberapa tahun ini.

"Mereka telah memenangi banyak kejuaraan dan antara pasukan terbaik di dunia.

"Jurgen Klopp sudah bersama mereka untuk tempoh yang panjang dan sudah melengkapkan banyak perkara bersama mereka, bukan sekadar dalam Liga Inggeris. Mereka memenangi Liga Juara-Juara.

"Jadi, Liverpool telah meninggalkan kesan dalam dunia bola sepak.

"Apabila membandingkan Liverpool dengan Flamengo, kita tahu Flamengo sedang menghadapi tahun terhebat, terutama musim ini.

"Kami memenangi gelaran liga di Brazil dan Copa Libertdores, jadi terdapat persamaan yang hebat di antara Liverpool dan Flamengo daripada segi penyertaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Pemain sayap Flamengo, Everton Ribeiro, menyedari saingan sukar yang akan disajikan oleh Liverpool tetapi percaya Jesus mempunyai perancangan untuk berdepan skuad The Reds itu.

"Kami menyedari adalah sukar untuk mencari kelemahan Liverpool.

"Namun, dengan adanya jurulatih, kami mampu mencipta strategi bagi memastikan gaya permainan kami berhasil.

"Saya tidak akan bercakap banyak kerana ia akan menggambarkan apa yang akan kami lakukan tetapi dengan strategi itu, apa yang mahu kami lakukan sudah selesai.

"Kini, kami hanya perlu memastikan ia berhasil di atas padang," katanya.