Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, serta ketua pasukan, Jordan Henderson, menggesa seluruh skuad Liverpool untuk meningkatkan sentuhan penyudah selepas diikat seri 1-1 menentang Spartak Moscow, awal pagi tadi.

Anak-anak buah Klopp jelas mendominasi permainan di Otkrytiye Arena, namun sekadar membawa pulang satu mata, sekaligus terus kempunan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim ini.

Situasi itu jelas tidak menggembirakan pengendali berbangsa Jerman itu selepas mempertaruhkan gandingan Sadio Mane, Philippe Coutinho, Roberto Firmino dan Mohamed Salah.

"Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Usaha pemain amat hebat.

"Kami harus lebih kemas dalam menyempurnakan setiap peluang. Kami perlu berusaha keras untuk memastikan setiap peluang berjaya diakhiri dengan jaringan," kata Klopp.

"Sesuatu yang gila jika anda mendominasi perlawanan tetapi tidak menang."

Henderson juga tidak menyembunyikan kekecewaan dan turut mengakui keadaan itu.

"Ia mengecewakan. Kami mengawal keseluruhan perlawanan sejak awal dan sepatutnya memenanginya.

"Kami mencipta peluang dan mampu menang dengan tiga atau empat jaringan.

"Prestasi kami hebat tetapi belum cukup untuk diakhiri dengan kemenangan," ujar Henderson.