LIVERPOOL 4 RED STAR BELGRADE 0

Jurgen Klopp menyedari Liverpool perlu kekal fokus selepas muncul sebagai pendahulu Kumpulan C, dengan mempercayai persaingan merebut juara kumpulan dengan Paris Saint-Germain (PSG) dan Napoli akan berlanjutan sehingga aksi terakhir.


The Reds mengatasi Red Star Belgrade 4-0 untuk mendahului kumpulan selepas PSG dan Napoli seri 2-2 di Perancis, dengan jaringan lewat Angel Di Maria memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Klopp, bagaimanapun, menjelaskan Liverpool perlu meneruskan momentum ini bagi memastikan mereka kekal sebagai pendahulu kumpulan.

"Napoli dan PSG telah berhempas-pulas mencari kemenangan. Saya percaya persaingan kumpulan ini akan kekal sengit hingga aksi terakhir bagi merebut slot ke pusingan 16," ujarnya.

Mohamed Salah menjaringkan dua gol di Anfield -- termasuk gol ke-50 bersama kelab-- tetapi Klopp memuji persembahan Xherdan Shaqiri yang bertindak mengumpan dua gol tersebut.

"Shaqiri banyak terlibat ketika Liverpool menyerang dalam perlawanan ini. Kehadirannya sangat penting.

"Dia mempamerkan dua lorongan yang kemas buat Salah menjaringkan gol dan saya yakin persembahannya akan terus meningkat dalam aksi akan datang."