Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer, yakin pasukannya akan mengatasi Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sambil menyifatkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu mudah untuk dipengaruhi.

Dua kelab gergasi Eropah itu diundi bertemu ketika undian semalam tatkala aksi pusingan 16 bakal dijalankan pada Februari dan Mac depan.

Liverpool tentunya berharap masih berada di puncak Liga Perdana Inggeris apabila tiba masa untuk berdepan Bayern sambil Bayern cuba merapatkan jurang sembilan mata dengan pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Walaupun melalui kempen kurang memuaskan ketika ini, undian menentang The Reds jelas tidak merisaukan penjaga gol Jerman itu.

"Mereka tentunya tidak gembira dengan undian itu walaupun melalui musim yang bagus serta layak ke final Liga Juara-Juara musim lalu," kata Neuer.

"Liverpool boleh melakukan serangan balas dengan pantas kerana mereka berbahaya di depan gol tetapi mereka juga mudah dijinakkan dan daripada apa yang kami lihat, mereka akan bergelut untuk menghadapi serangan Bayern.

"Pasti akan jadi aksi menarik di Anfield serta Allianz Arena."

Sementara itu, pengendali Bayern, Niko Kovac, menyifatkan peluang sama rata buat kedua-dua pasukan.

"Kami bersedia untuk berdepan aksi sebegini. Ia menjadi undian paling sukar buat kami. Liverpool mara ke final dalam edisi lalu, mereka mengungguli takhta Liga Perdana Inggeris dan merupakan salah sebuah pasukan pilihan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara," ujar Kovac.

"Kami adalah Bayern Munich dan tentu Liverpool sedar mereka perlu bertandang ke Munich untuk aksi kedua. Peluang tetap sama rata. Saya yakin kami akan melangkah ke pusingan seterusnya."

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic, berkata Liverpool adalah pasukan popular sambil Arjen Robben menyifatkan aksi itu sebagai perlawanan epik.

Robben yang bakal meninggalkan Bayern di penghujung musim ini berkata: "Ia aksi epik. Liverpool adalah pasukan hebat yang telah melalui perkembangan yang baik.

"Mereka memiliki pemain yang hebat, sangat pantas serta kreatif dalam serangan dan mereka bertindak sebagai satu unit. Keadaan sekeliling pasti hebat. Ia satu undian yang baik.

"Ia juga merupakan impian setiap pemain untuk terlibat dalam perlawanan seperti ini."