MARIBOR 0 LIVERPOOL 7

Jurgen Klopp berasa puas dengan asakan bertubi-tubi pasukannya selepas Liverpool merekodkan kemenangan terbesar oleh mana-mana kelab Inggeris dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di tempat lawan ke atas Maribor, awal pagi tadi.


Dua gol daripada Roberto Firmino dan Mohamed Salah, selain masing-masing satu jaringan sumbangan Philippe Coutinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Trent Alexander-Arnold menghasilkan kemenangan besar 7-0 ke atas pencabar dari Slovenia itu.

The Reds mungkin meraih kemenangan lebih besar sekiranya mereka lebih klinikal di depan gol dan Klopp percaya bahawa aksi dominan itu dipengaruhi oleh gaya tekanan yang diberikan.

"Ia persembahan yang matang," katanya kepada BT Sport.

"Untuk menyumbat tujuh gol adalah menakjubkan, namun pendekatan tekanan ke atas lawan juga mengagumkan.

"Saya lebih kerap untuk meraikan kejayaan tekanan yang diberikan berbanding gol yang dihasilkan. Kami memilih detik terbaik untuk menyusun barisan tinggi dan mencetuskan masalah buat mereka.

"Mereka sebuah pasukan yang bagus tetapi mereka gagal mengekang kami -- ia suatu perkara hebat yang kami lakukan malam ini.

"Sikap pemain juga begitu mengagumkan. Kami garang sejak sepak mula.

"Maribor kelihatan gagal mempamerkan permainan baik, namun adalah sukar untuk menghadapi kami hari ini.

"Kami sangat-sangat fokus, memulakan permainan dengan sangat baik pada separuh masa pertama dan mampu meledak lebih banyak gol, tetapi itu tidak penting," kata Klopp.