Lima pemain import bakal sertai pasukan Liga Super

Oleh Penulis Jemputan 20 November 2017 6880
Lima pemain import bakal sertai pasukan Liga Super
Lembaga Pengarah, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) telah meluluskan kuota lima pemain asing dalam saingan Liga Super 2018.

Menurut satu kenyataan FMLLP hari ini, keputusan itu diambil menerusi mesyuarat pada 19 September lalu untuk pembaharuan bagi keseluruhan saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagi pasukan yang bertanding dalam Liga Super, lima pemain asing boleh dibawa masuk -- tiga daripada mereka adalah pemain dari seluruh dunia, seorang dari Asia dan seorang lagi pemain negara ASEAN.

Pemain dari negara Asia Tenggara atau ASEAN tersebut hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai 30 kap antarabangsa untuk pasukan utama negara terlibat. Ia perlu dibuktikan dengan mengemukakan surat rasmi daripada persatuan bolasepak negara yang mana pemain tersebut bermain.

Jika pemain yang dikehendaki kurang daripada 30 kap, pasukan boleh memohon untuk pengecualian dan keputusan akhir adalah tertakluk kepada FMLLP dan keputusan adalah muktamad.

Dalam saingan Liga Perdana, kuota pemain asing kekal tiga pemain dari seluruh dunia dan seorang pemain Asia, menjadikan keseluruhan empat pemain asing sahaja setiap pasukan. 

Kesemua pemain asing dibenarkan bermain untuk pertandingan Liga Super sahaja manakala untuk pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia, hanya empat daripada lima pemain dibenarkan beraksi dengan tujuan untuk memberikan keadilan kepada pasukan daripada Liga Perdana dan Liga FAM yang berkemungkinan bertemu dalam pertandingan ini.

Peraturan baru ini akan berkuatkuasa serta-merta bermula 2018 hingga 2022. Peraturan ini akan dikaji semula keberkesanannya selepas tempoh tersebut.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen