Saingan Ligue 1 dan Ligue 2 musim 2019-20 telah ditamatkan serta-merta susulan wabak coronavirus.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkannya dalam ucapan untuk Perhimpunan Kebangsaan, di mana saingan bola sepak profesional tidak boleh disambung sebelum September depan.

Ia bermakna musim 2019-20 telah tamat sambil jadual domestik akan bermula untuk kempen 2020-21.

"Sebarang acara sukan besar tidak akan dijalankan sebelum September. Saingan bola sepak profesional musim 2019-20 tidak akan disambung," katanya.

Keputusan kini perlu dibuat sama ada pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), yang kini 12 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Marseille, di puncak liga dengan kelebihan satu perlawanan akan diserahkan status juara serta kedudukan kenaikan, penyingkiran serta kelayakan Eropah.

Toulouse kini berada di tangga terbawah, 10 mata di belakang Amiens yang berada di kedudukan kedua terbawah sambil Nimes menduduki tempat ke-18 tatkala saingan berbaki 10 perlawanan.

Lorient dan Lens kini menghuni slot untuk kenaikan daripada Ligue 1.

Satu mesyuarat antara Kementerian Sukan, Liga Bolasepak Perancis (LFP) dan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) kemudian telah diadakan hari ini.

Minggu lalu, saingan Eredivisie telah dibatalkan sambil tiada pasukan bergelar juara, dinaikkan atau disingkirkan sambil LFP mendedahkan perancangan untuk menyambung Ligue 1 dan Ligue 2 pada 17 Jun depan dan ditamatkan pada 25 Julai.

Namun, pihak kerajaan memutuskan sebarang perlawanan tidak boleh dijalankan secara tertutup.

Saingan itu ditangguhkan pada 13 Mac lalu susulan krisis Covid-19 selepas 23,000 nyawa terkorban di Perancis dan seluruh negara itu diisytiharkan darurat sehingga 11 Mei ini.