Liga Super Eropah menarik juga, kata Kroos

Oleh Muzaffar Musa 14 November 2020 1003
Liga Super Eropah menarik juga, kata Kroos
Toni Kroos dapat melihat kebaikan daripada penganjuran Liga Super Eropah walaupun mengkritik potensi pertambahan perlawanan dalam jadual yang sudahpun terlalu padat.

Idea untuk pasukan elit Eropah menubuhkan divisyen liga sendiri sudah lama diperkatakan tetapi ia kembali menjadi perhatian selepas bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mendakwa skuad Blaugrana berkenaan bersetuju untuk menyertai saingan liga seperti itu.

Kroos yakin pasukannya, Real Madrid, pasti akan turut terlibat tetapi pemain tengah itu pada minggu ini mengkritik FIFA dan UEFA berkenaan perlawanan yang tertalu banyak perlu dihadapi pemain terbaik dunia berikutan pandemik koronavirus.

Dengan merujuk kepada Liga Negara-Negara Eropah dan Liga Super yang mungkin diadakan itu, Kroos berkata: "Dengan terciptanya perkara baru seperti ini, kami kelihatan seperti boneka buat FIFA dan UEFA."

Mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu bersama Marca, pemain kebangsaan Jerman itu turut menekankan mengenai kebaikan yang akan didatangkan penganjuran kejohanan berkenaan.

"Apa yang saya cuba katakan, tanpa sebarang keraguan, terdapat perkara positif mengenainya," kata Kroos kepada akhbar Sepanyol itu.
 
"Kita dapat lihat lebih banyak perlawanan dengan tahap yang amat tinggi yang hanya dapat dilihat dalam separuh akhir atau final Liga Juara-Juara Eropah dan kita semua gemar untuk menyaksikannya.

"Ia akan menjadikan bola sepak amat menarik buat penonton dan pasukan dan buat sesiapa yang tidak mempunyai pasukan spesifik. Kita semua gemar menyaksikan bola sepak di peringkat tertinggi," katanya.

Bagaimanapun, Dia menambah: "Anda juga perlu menjaga pasukan kecil. Mereka semua amat kompetitif.

"Liga Super ini sesuatu yang berbeza. Saya lebih gusarkan mengenai perkara lain."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen