Florentino Perez terus mempertahankan keberadaan Liga Super Eropah (ESL) walaupun kejohanan baru itu kelihatan telah musnah sebelum bermula.

Presiden Real Madrid itu dilantik sebagai pengerusi kejohanan berkenaan, yang pada awalnya akan disertai 12 pasukan elit Eropah tetapi mendapat kritikan sejagat selepas diumumkan hujung minggu lalu.

Perez bercakap pada Isnin lalu mengenai keperluan perubahan dalam bola sepak, di mana kelab kini bergelut secara kewangan disebabkan pandemik COVID-19 sambil berkata golongan muda kini sudah tidak berminat dengan sukan itu.

Bagaimanapun, kata-katanya itu kini sudah tidak bermakna apabila kesemua kelab Inggeris bertindak melakukan pusingan U dan menarik diri daripada kejohanan berkenaan gara-gara tekanan daripada Premier League, Persatuan Bolasepak England (FA), Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan kerajaan United Kingdom.

Pemilik kelab Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Manchester City turut melakukan permohonan maaf kepada peminat mereka kerana terlibat dengan perancangan itu.


Atletico Madrid, Inter Milan, AC Milan dan Juventus kemudian turut menarik diri tetapi Perez mendakwa Milan dan Juve masih mahu memberikan komitmen dalam ESL.

Dan Perez turut menegaskan bahawa dia tidak akan membenarkan cadangan itu berkubur sambil tetap dengan pendiriannya bahawa perlu ada perubahan drastik dalam bola sepak dan ESL diadakan bagi menyelamatkan sukan itu.

Bercakap dalam rancangan radio El Laguaro selepas Madrid menewaskan Cadiz awal pagi tadi, Perez berkata: "Kami bekerja sehingga lewat malam tadi. Kami sudah mengusahakan projek ini sejak bertahun-tahun lalu. Mungkin kami tidak menjelaskannya dengan baik.

"Mereka juga tidak memberikan kami sebarang peluang. Ada yang tidak mahu apa-apa berlaku. Ia tidak boleh di England, enam daripadanya kehilangan wang dan 14 lagi mendapat wang. Di Sepanyol, tiga pasukan teratas kehilangan wang dan pasukan lain mendapat wang. Ia tidak boleh terus begini -- pada ketika ini pasukan kaya telah kehilangan wang.

"Saya agak sedih, kecewa. Kami sudah berusaha selama tiga tahun untuk projek ini dalam menangani masalah kewangan bola sepak Sepanyol.
Anda tidak boleh menyentuh LaLiga, jadi anda mencari lebih wang pada pertengahan minggu dan format Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sudah usang.

"Saya tidak pernah melihat pencerobohan lebih besar daripada apa yang dilakukan presiden UEFA, ia diatur, ia mengejutkan kami semua. Penghinaan dan ancaman, seolah-olah kami telah membunuh bola sepak.

"Terdapat kempen yang benar-benar dimanipulasikan bahawa kami akan menamatkan liga kebangsaan. Bahawa kami akan mengakhiri bola sepak, ia amat buruk. Tetapi kami sedang berusaha untuk memastikan bola sepak dapat terus bertahan.

"Jika anda fikir ESL sudah berkubur, anda sememangnya silap," katanya.