Penyerang Jerman, Timo Werner, kesal pasukannya terikat 1-1 ketika menentang Sepanyol dalam Liga Negara-Negara Eropah.

Werner hampir membawa Jerman ke landasan kemenangan dalam aksi di Stuttgart awal pagi tadi tetapi Jose Gaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-95 untuk Sepanyol bagi pertemuan Kumpulan 4, Liga A itu.

Bintang Chelsea itu, yang dalam persiapan mengharungi musim pertamanya di Stamford Bridge selepas dipancing daripada RB Leipzig, menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, pemain yang membuat penampilan pertama bersama Sepanyol, Ferran Torres, melancarkan gerakan dari sayap kanan untuk Gaya menyambar tandukan Rodrigo Moreno pada penghujung perlawanan.

"Ini sesuatu yang menjengkelkan kerana kami telah bersusah payah dan bekerja keras," katanya selepas perlawanan.

"Selepas mendapatkan gol, kami agak lama tenggelam."



Keputusan itu meletakkan Jerman masih tercari-cari rentak kemenangan pertama kempen itu selepas mencatat dua keputusan seri dan dua kekalahan dalam edisi sulung kejohanan berkenaan pada 2018-19.

Pengurus Jerman, Joachim Low, menambahkan: "Saya berpuas hati dengan apa yang saya lihat. Anak-anak buah saya mencurahkan segala keringat hingga tiupan wisel terakhir.

"Ini adalah satu perlawanan yang sengit dan sukar. Kedua-dua pasukan berusaha keras sepanjang perlawanan.

"Bagi saya, adalah penting untuk tidak membenarkan Sepanyol menerapkan corak permainan sebenar dan pada pendapat saya, kami mempunyai peluang yang lebih baik. Babak kedua lebih sukar untuk mengekalkan tekanan."