Virgil van Dijk berasakan Belanda selayaknya dihukum gara-gara aksi buruk ketika tewas 0-1 kepada Itali dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Gol daripada tandukan Nicolo Barella memastikan skuad Azzurri itu membawa pulang tiga mata dari Amsterdam dan mendahului kedudukan Kumpulan A1 dengan kelebihan satu mata di depan Oranje.

Pasukan tuan rumah itu memaksa Itali bertahan pada penghujung permainan tetapi gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang dengan pemain Manchester United, Donny van de Beek, hampir menamatkan penantian itu menerusi sepakan volinya yang diselamatkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.

Kapten Belanda, Van Dijk, berasakan pasukannya perlu menanggung padah daripada prestasi buruk mereka sepanjang babak pertama.

"Ia satu perlawanan yang buruk buat kami," kata pertahanan Liverpool itu kepada NOS.

"Kami tidak dapat memberikan tekanan buat mereka, Kami tidak bagus dalam mengawal permainan.

"Padang ini tidak membantu tetapi ia bukan satu alasan. Kami sepatutnya beraksi lebih baik -- itulah kesimpulannya malam ini.

"Babak pertama tidak bagus. Selepas rehat, kami mencuba untuk mengubah situasi itu dan anda dapat lihat kami menjadi lebih baik tetapi secara amnya, ia bukan permainan yang bagus.

"Anda mencuba untuk mengetepikan segala tekanan tetapi pada satu tahap, pemain mula letih.

"Ia kemudian menjadi sukar untuk mengekalkan tahap itu, apabila kami mendapat bola, untuk terus melakukan larian.

"Tetapi saya tidak mahu memberikan alasan. Secara khususnya, babak pertama hanyalah permainan yang biasa atau permainan yang buruk," katanya.