Republik Czech akan mempertaruhkan pasukan baru menjelang perlawanan menentang Scotland dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi esok dengan hanya dua daripada pemain itu mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Keputusan positif dalam ujian koronavirus di kem latihan mereka sebelum menewaskan Slovakia di Tehelne kelmarin menyaksikan Persatuan Bolasepak Republik Czech (FACR) berhasrat untuk menarik diri daripada pertemuan dengan skuad bimbingan Steve Clarke berkenaan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan yang diumumkan semalam, bagi mengelakkan denda daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana gagal memenuhi jadual perlawanan, keseluruhan pasukan baru akan ditubuhkan bagi menghadapi Scotland di Olomouc dengan tiada seorang pun yang mewakili negara itu ketika menentang Slovakia akan terlibat.

Hanya Stanislav Tecl and Roman Hubnik, yang akan mengetuai pasukan itu, merupakan pemain yang pernah melakukan penampilan antarabangsa dan mereka akan memperkuatkan pasukan bimbingan David Holoubek itu -- jurulatih skuad B-18 yang dipanggil bagi menggantikan Jaroslav Silhavy -- manakala Vaclav Jemelka pernah dipanggil mewakili pasukan senior pada 2018 tetapi tidak melakukan sebarang penampilan.

Adam Karabec, yang mewakili pasukan B-21 minggu lalu, turut dinamakan dalam senarai itu dan pemain berusia 17 tahun berkenaan akan menjadi pemain termuda mewakili pasukan kebangsaannya jika terpilih untuk diturunkan.

"Saya mahu berterima kasih kepada kesemua kelab dan jurulatih kerana membenarkan kami memilih barisan pemain ini," kata Holoubek.

"Kebanyakan mereka mempunyai waktu senggang pada hujung minggu tempoh rehat antarabangsa.

"Mereka datang ke sini dari seluruh negara tetapi amat jelas bahawa mereka mahu mewakili negara mereka," katanya.