Ansu Fati menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah bola sepak Sepanyol ketika pasukan itu menewaskan Ukraine 4-0 dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di Madrid awal pagi tadi.

Penyerang muda Barcelona itu menandakan penampilan pertamanya sebagai kesebelasan utama di peringkat antarabangsa dengan gemilang apabila meletakkan Sepanyol selesa mendahului 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama di Estadio Alfredo Di Stefano.

Pada usia 17 tahun dan 311 hari, Fati menjadi pemain paling muda menggegarkan jaring lawan sepanjang sejarah bola sepak Sepanyol.

Ia merupakan perlawanan yang akan diingati Fati apabila dia turut mencetuskan sepakan penalti yang kemudian disempurnakan oleh Sergio Ramos pada awal permainan.

Ramos kemudian menggandakan jaringannya menerusi tandukan manakala Ferran Torres melengkapkan keputusan perlawanan itu pada lewat permainan.

Sebagai rekod, Fati melakukan penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa dari bangku pemain simpanan ketika Sepanyol terikat 1-1 dengan Jerman, Khamis lalu.