Liga M3: KT Rovers harap musim baru bermula awal 2021

Oleh Tengku Danish Bahri 9 Jun 2020 45
Liga M3: KT Rovers harap musim baru bermula awal 2021
Susulan pembatalan Liga M3 musim ini, pendahulu Kumpulan B, Kuala Terengganu Rovers (KT Rovers) berharap saingan musim 2021 dapat dimulakan lebih awal.

Pengendalinya, Mohd Azhari Salim, berkata ramai pemain muda berpotensi bertaraf amatur akan 'hilang daripada radar' sekiranya langkah penting itu tidak diambil.

Hal ini kerana rata-rata mereka sudah memiliki karier sendiri dan dengan peluang terhad dalam bidang sukan akibat wabak Covid-19, tidak mustahil pemain akan menjauhkan diri.

Justeru, menurut bekas pembantu jurulatih T-Team itu, badan induk bola sepak negara perlu membuat keputusan terbaik sambil mengambil kira situasi semasa di dalam negara.

"Pembatalan liga musim ini adalah keputusan yang tepat kerana sebagai pasukan bertaraf amatur, pasti ada impak kewangan untuk KT Rovers mematuhi arahan kerajaan.

"Antaranya prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, iaitu peralatan tambahan, ujian saringan dan sebagainya.

"Jadi, musim baru akan datang mungkin boleh bermula lebih awal seperti Disember atau Januari depan bergantung kepada keadaan negara ketika itu," tambah Azhari.

Kredit foto: KT Rovers

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen