Ranjau menanti pasukan Liga Malaysia (Liga-M) apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengekalkan format dua slot relegasi dalam Liga Super dan Liga Perdana walaupun saingan musim ini hanya dijalankan secara satu pusingan.

Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

"Promosi dan relegasi tetap ada seperti biasa dalam Liga Super dan Liga Perdana," katanya.

Situasi itu sememangnya tidak disenangi sesetengah pasukan, terutama yang menghuni kelompok bawahan liga ketika ini.

Ia susulan berlaku perubahan format pertandingan yang menyaksikan baki tujuh perlawanan akan menjadi penentu nasib buat pasukan terbabit.

Selain itu, pasukan yang akan disingkirkan daripada Liga Perdana juga masih menjadi tanda tanya memandangkan saingan AFL (Liga Amatur Malaysia - M3) telah dibatalkan, sekali gus menyaksikan tiada pasukan layak untuk dipromosikan ke Liga Perdana setakat ini.

"Di peringkat AFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kami akan merancang bagaimana caranya untuk memilih dua pasukan daripada Liga AFL, yang akan dinaikkan ke Liga Perdana (musim depan).

"Untuk adil, memang tiada keadilan pada tahun ini. Seperti yang saya telah katakan dahulu, ada dua situasi dan tiada yang menang disebabkan COVID-19 tetapi promosi dan penyingkiran liga tetap ada pada tahun ini," katanya.