Liga-M: FAM tunggu keputusan rasmi kerajaan

Oleh Bernama 26 April 2020 152
Liga-M: FAM tunggu keputusan rasmi kerajaan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan berhubung arahan menghentikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menjangkakan keputusan itu akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Pihak FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) mengharapkan satu jawapan secara rasmi sekiranya Liga-M terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19 dan saya jangkakan kita (FAM) akan mendapat jawapan mengenai perkara ini minggu depan.

“Jika benar ia terpaksa dibatalkan, maka keputusan rasmi adalah penting supaya FAM dapat mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata Liga-M musim 2020 tidak boleh dianjurkan buat sementara walaupun selepas tempoh arahan tersebut ditamatkan.

Kenyataan Ismail Sabri itu dibuat kira-kira 24 jam selepas FAM mengesahkan menghantar permohonan rasmi melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Permohonan itu untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan selain memberi gambaran jelas bahawa kedua-dua entiti bola sepak negara itu bersedia untuk meneruskan Liga-M.

Difahamkan, FAM dan MFL merangka beberapa SOP baru untuk setiap pasukan bertanding dengan kesemua pemain dan pegawai pasukan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak itu.

“Sememangnya FAM dan MFL bersedia dan mempunyai beberapa pilihan mengenai perkara ini termasuk pilihan terakhir iaitu pembatalan liga,” katanya lagi.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lalu susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian wabak tersebut.

Tentang Penulis

Bernama

Komen