Liga-M dapat tambahan slot kempen Asia 

Oleh Staff Writer 25 Januari 2020 7123
Liga-M dapat tambahan slot kempen Asia 
Malaysia bakal mempunyai tiga wakil di pentas Asia tahun depan apabila Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan satu slot automatik selain dua tiket dalam pusingan kedua diberikan kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang membabitkan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). 

AFC sebelum ini memberikan satu tiket automatik dan satu pasukan lagi perlu mengharungi perlawanan play-off kepada Liga-M bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), bermula musim 2019-2020.

Perkembangan positif itu didorong oleh ranking terbaru kancah liga berkenaan yang kini di kedudukan kesembilan Asia Timur.

"Kalau kami dapat slot automatik dalam ACL, ia juga bermakna kami tiada lagi slot automatik dalam Piala AFC.

"Sebagai negara membangun, adalah penting juga untuk kami berada dalam Piala AFC dan ACL," katanya. 

Ini bermakna tiga pasukan negara akan beraksi secara kompetitif di peringkat Asia mulai 2021.

Namun, penambahan slot itu juga secara tidak langsung mengehadkan penyertaan wakil negara di pentas ACL. 

"Tiga pasukan (Liga-M) yang akan menyertai ACL dan Piala AFC berpeluang bermain di peringkat  tertinggi dan menimba pengalaman yang sangat bermanfaat.
 
“Bukan sahaja dalam bola sepak tempatan, malah kepada pasukan kebangsaan," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. 

Sementara itu, bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menganggap tambahan slot wakil negara ke pentas Asia sebagai perkembangan positif kerana dapat memastikan lebih banyak kelab Malaysia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa selain dapat menjaga nilai komersial sesebuah liga tempatan.

"Sebelum ini, hanya satu pasukan yang berjaya lolos tetapi sekarang, tiga pasukan akan beraksi di peringkat Asia. 

"Ini satu perkembangan yang baik buat bola sepak negara," kata Irfan di Shah Alam, Selangor.

Malah, beliau juga berasakan peluang beraksi di peringkat lebih tinggi memberikan pulangan lumayan buat skuad kebangsaan menerusi pendedahan yang diperoleh pemain tempatan.

"Sekiranya ramai pemain kebangsaan bermain dalam kejohanan tersebut, ia semestinya meningkatkan bermacam-macam aspek." 



Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen