KDM SEPANGGAR 1 KDM SEMPORNA 1

KDM Sepanggar dan KDM Semporna terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Liga KDM Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan KDM Semporna lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa peluang baik untuk berada di depan.

Penyerang KDM Semporna, Mohd Fauzi Abdul Kadir memiliki dua peluang baik, namun percubaannya pada minit ke-10 dan 12 tersasar serta diselamatkan penjaga gol KDM Sepanggar, Mohd Salawi Ahmad Jasad.

KDM Semporna dilihat terus garang untuk mengatur serangan dan hampir memperoleh gol pertama menerusi Shahrizam Sahar pada minit ke-22 tetapi Salawi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menyelamatkan keadaan.

KDM Sepanggar yang sekali-sekala melakukan serangan hampir di depan menerusi Yuhendry Rusdi pada minit ke-30, bagaimanapun percubaannya yang sudah menewaskan penjaga gol sempat ditampan pertahanan lawan.

Gol yang dicari-cari KDM Semporna akhirnya hadir pada minit ke-38 selepas Sharizam mudah melakukan penyudah hasil hantaran baik Fauzi bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bermula babak kedua, KDM Sepanggar memulakan permainan dengan garang dan hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan apabila Saddam Yusup mudah menyepak masuk bola selepas penjaga gol lawan gagal menampan bola dengan kemas bagi menjadikan kedudukan 1-1.

KDM Semporna berusaha untuk kembali di depan dan hampir memperolehnya pada minit ke-59, namun sepakan percuma cantik Mohd Arfiyansah Abdul Jafar sekadar menggegarkan palang.

Permainan selepas itu agak seimbang dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama di Kudat, petang tadi, Telupid menang tipis ke atas Kudat 1-0 hasil jaringan sepakan penalti pada saat terakhir perlawanan.

**Kredit Imej - Raymond Henry Gusi**