Pep Guardiola percaya Barcelona masih menjadi pasukan pilihan berbanding Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah kerana Lionel Messi.

City melakar 18 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Newcastle United 1-0 di St James' Park awal pagi tadi, keputusan yang meletakkan mereka berkelebihan 15 mata di puncak carta liga.

Seperti Barca, mereka masih belum tewas dalam liga musim ini dan mara bergaya ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, dengan kedua-dua skuad menjuarai kumpulan masing-masing.

Guardiola, bagaimanapun, mengatakan Barca mempunyai kelebihan di Eropah kerana memiliki bintang Argentina itu di bahagian serangan.

Ditanya adakah City boleh dianggap sebagai pasukan kegemaran untuk menguasai Eropah kali ini, dia menjawab: "Pasukan mana Messi bermain? Mereka adalah pilihan."

Guardiola bercakap selepas pasukannya menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi hanya menjaringkan satu gol hasil sumbangan Raheem Sterling pada minit ke-31.

"Ia sukar kerana ia adalah Liga Perdana dan semua orang mengatakan ia liga paling sukar," katanya.

"Sekiranya anda menganalisis 90 minit, kami lebih baik, kami mencipta banyak peluang. Jika anda menganalisis 10 minit terakhir, mereka membuat hantaran ke depan sekali dan boleh menjaringkan satu gol.

"Untuk kekal fokus selepas 17, 18 kemenangan berturut-turut bukan mudah tetapi kami melakukannya.

"Apabila kami membuat persiapan, kami bukan bercakap mengenai rekod tetapi mengenai apa yang perlu dilakukan untuk memenangi perlawanan."