BAYERN MUNICH 3 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Bayern Munich menetapkan penanda aras baru dalam Liga Juara-Juara Eropah apabila melengkapkan saingan Kumpulan B dengan rekod kemenangan bersih selepas menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 di Arena Allianz awal pagi tadi.


Kingsley Coman, Thomas Muller dan Philippe Coutinho berada dalam senarai penjaring untuk juara Bundesliga itu mengumpulkan 18 mata maksimum daripada enam perlawanan.

Bayern jauh meninggalkan pasukan di tangga kedua, Spurs, dan dengan kombinasi mata dan perbezaan jaringan (+19) yang dikumpulkan meletakkan mereka sebagai pasukan terbaik memenangi peringkat awal itu sepanjang sejarah Liga Juara-Juara.

Paling diingati sudah pasti kejayaan mereka membelasah Spurs 7-2 di London pada awal Oktober lalu -- keputusan yang turut mempengaruhi pemecatan Mauricio Pochettino.

Bayern juga menukar pengurusnya dengan menyingkirkan Niko Kovac, namun pengurus sementara, Hansi Flick, memastikan mereka menewaskan Olympiacos, Red Star Belgrade dan finalis musim lalu itu untuk menutup kempen peringkat kumpulan sebagai pasukan paling berjaya.

Bayern dan Tottenham akan mengetahui lawan mereka yang seterusnya dalam majlis undian pusingan 16 di Nyon, Isnin ini.