Menang 1-0 dalam aksi timbal balik di Stadium Bangi, Rabu lalu, tidak cukup untuk mengheret Kuching FA mencipta sejarah lebih besar ke separuh akhir Liga FAM.

Terdahulu, bekas juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat itu tumpas kepada UKM FC 2-0 di Stadium Negeri pada minggu sebelumnya, sekali gus secara agregat menafikan peluang mereka untuk layak ke peringkat yang lebih jauh.

Pengurus Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman, ketika dihubungi sebentar tadi mengakui kecewa dengan kegagalan tersebut.

"Namun, saya berpuas hati dengan persembahan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain.

"Mereka menunjukkan semangat dan persembahan yang luar biasa biarpun sedar bahawa sukar untuk mengejar dua gol yang dimiliki lawan," katanya.

Tegasnya, keputusan yang dicapai pasukan ini seharusnya dilihat dari konteks yang lebih besar.

"Ini penyertaan pertama Kuching FA dalam piala ini dan kami menyasarkan untuk berjuang sehingga ke suku akhir.

"Kami berjaya mencapai sasaran ini," katanya lagi.

Kerana itu, tambahnya, beliau amat berpuas hati dan tidak ralat dengan kegagalan tersebut.

"Musim 2018, kami akan masih kekal bersaing dalam liga ini dan berharap akan menjadi lebih kuat.

"Insya-Allah, sasaran kami mahu pergi lebih jauh dan akan mengadakan persediaan yang lebih rapi."

Atas pencapaian yang hebat ini, katanya, beliau akan mencadangkan pasukan ini dikekalkan.

"Kami akan perkasakan mereka daripada segi teknikal dan taktikal untuk muncul sebagai pesaing yang kuat," hujahnya.