Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, berasa semakin sukar untuk memilih kesebelasan utama selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Sparta Prague 3-0 dalam perlawanan Liga Europa di San Siro awal pagi tadi.

Pioli melakukan lima pertukaran berbanding ketika terikat 3-3 dengan AS Roma dalam Serie A hujung minggu lalu dan Milan kemudian meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan terakhir -- termasuk satu menerusi penentuan sepakan penalti -- dalam kesemua kejohanan.

Dua perubahan yang dilakukannya adalah menyenaraikan Brahim Diaz dan Diogo Dalot, yang kedua-duanya berada dalam senarai penjaring, manakala pemain gantian, Rafael Leao, turut menemui sasaran.

Milan akan kembali ke kancah domestik dengan berdepan Udinese dan Pioli berkata dia kini sukar untuk menyatukan terlalu banyak prestasi terbaik ke dalam pasukan utamanya.

"Pasukan ini tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang dan bagaimana untuk membaca permainan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami tampil dengan prestasi yang baik ketika menentang Roma di mana kami boleh melakukan yang lebih baik dalam mengawal keadaan. Hari ini kami memanfaatkan sepenuhnya ruang yang diberikan.

"Saya perlu mengaku, ia menjadi semakin sukar untuk memilih kesebelasan utama memandangkan semua pemain beraksi dengan baik.

"Pemain kami bekerja dengan cara yang amat bersatu dan itulah sikap yang membuatkan saya memilih mereka.

"Kami mahu kekuatan yang luas, jadi satu-satunya cara yang betul adalah kami perlu memanfaatkanya sebaik mungkin," katanya.

Zlatan Ibrahimovic digantikan oleh Leao pada waktu rehat selepas gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak pertama -- satu daripada tiga percubaan yang tidak menemui sasaran -- tetapi Pioli berkata keputusan untuk mengeluarkannya sudah dirancang sebelum perlawanan itu lagi.

"Kami sudahpun merancang pertukaran itu. Zlatan seorang juara dan mungkin mahu meneruskan permainan tetapi kami akan menempuhi satu perlawanan yang amat sukar hujung minggu ini, jadi kami perlu mengimbangi usaha kami," katanya lagi.