Pengurus Nice, Lucien Favre, mencabar Mario Balotelli agar terus menunjukkan peningkatan prestasi sejak penyerang Itali berkenaan berhijrah ke Ligue 1.

Bekas pemain Liverpool itu meneruskan prestasi mengagumkan musim lalu dengan menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan pertama liga.

Favre kritikal terhadap Balotelli pada awal musim ini selepas Nice tewas kepada Napoli dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara (UCL).

Di sebalik memuji usaha memberangsangkan dalam permainannya baru-baru ini, jurulatih dari Switzerland itu masih berasakan pemain berusia 27 tahun itu boleh melakukan sumbangan lebih besar lagi.

"Dia benar-benar bertambah baik dalam pergerakannya," katanya dalam sidang media menjelang pertemuan Liga Europa dengan Lazio, awal pagi esok.

"Dia menjadi lebih bersikap tidak mementingkan diri sendiri dan berkesan dengan pasukan, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan tetapi kita sedar mengenainya. Dia bekerja keras dalam latihan, dia memberi tekanan ketika kehilangan bola. Ia langkah kecil, namun penting.

"Tetapi ia tidak akan dibentuk dalam tempoh setahun, dia memerlukan masa. Saya terkejut dengan kemajuannya tahun lalu dan dia kini lebih banyak terlibat dalam permainan. Dia berusaha keras untuk mencapai tahap yang diperlukan.

"Mario memerlukan sokongan dan perhatian. Dia memerlukan pemain yang rapat dengannya kerana dia membaca permainan dengan baik dan tahu bagaimana untuk membuat perubahan," katanya.