Jose Mourinho berkata dia mahu melakukan 11 pertukaran pemain dalam separuh masa ketika Tottenham tewas 0-1 kepada Royal Antwerp dalam Liga Europa di tempat lawan awal pagi tadi sambil mengakui pasukannya memang layak kalah.

Giovani Lo Celso, Steven Bergwijn, Carlos Vinicius dan Dele Alli, yang memulakan perlawanan buat kali pertama sejak lebih sebulan lalu, kesemuanya dikeluarkan pada waktu rehat dengan Tottenham ketinggalan gara-gara jaringan Lior Refaelov dalam babak pertama.

Gareth Bale kemudian turut dikeluarkan tetapi kemasukan Pierre-Emile Hojbjerg, Erik Lamela, Lucas Moura, Son Heung-min dan Harry Kane tidak memberikan banyak perubahan.

Selepas kekalahan mengejutkan di Belgium itu, Mourinho menegaskan bahawa pemain sokongan dalam pasukannya selepas ini tidak boleh mengeluh seandainya tidak terpilih untuk diturunkan dalam perlawanan yang lebih besar.

"Saya mahu melakukan 11 pertukaran," katanya mengenai keputusannya untuk melakukan empat pertukaran dalam waktu rehat.

"Saya tidak melakukan lima pertukaran kerana gusar ia 45 minit yang terlalu lama tanpa sebarang baki pertukaran.

"Hanya ada seorang yang perlu dipersalahkan dan ia adalah saya. Saya yang memilih pemain untuk memulakan permainan.

"Dalam separuh masa, saya cuba untuk memperbaiki situasi itu tetapi ia tidak cukup.

"Dinamik dalam separuh masa pertama masih ada, mentalitinya juga seperti itu dan ia amat sukar untuk diubah.

"Permainan dalam separuh masa pertama amat mudah, terdapat banyak ruang. Dalam babak kedua, kami memperbaikinya tetapi mereka bermain dengan cara berbeza.

"Ia menjadi amat sukar dan pada akhirnya, Antwerp mendapat sesuatu yang selayaknya mereka dan kami mendapat sesuatu yang selayaknya kami.

"Ia keputusan yang adil. Saya sentiasa tenang mengenainya. Pasukan yang lebih baik menang dan pasukan yang lebih buruk kalah," katanya.

Ditanya sama ada terdapat dalam kalangan pemain itu yang akan lebih kerap diturunkan selepas ini, Mourinho berkata: "Baik, anda tahu siapa pasukan terbaik kami, anda tahu perkara sama yang saya tahu dan semua orang mengetahuinya.

"Tetapi saya fikir pemain ini layak mendapat peluang. Kami mempunyai skuad besar dengan ramai pemain bagus.

"Ia menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan peluang. Ia menjadi tanggungjawab mereka untuk mendapatkan lebih peluang.

"Malam ini, pilihan saya selepas ini akan menjadi amat mudah tetapi sekali lagi, hanya ada seorang yang bertanggungjawab, bukan pemain tetapi tanggungjawab saya," tambahnya.