Antonio Conte mahu Inter Milan memberikan segala-galanya dalam suku akhir Liga Europa dan tidak mahu pasukannya terkilan seandainya tewas.

Skuad Nerazzurri itu mengesahkan tempat dalam suku akhir dan akan berdepan Bayer Leverkusen awal pagi esok, di mana ia merupakan perlawanan pertama mereka dalam kejohanan akhir lapan pasukan itu di Jerman.

Inter merupakan pasukan pilihan untuk memenangi saingan kedua tertinggi peringkat Eropah berkenaan dan mereka menepati ramalan itu apabila menewaskan Getafe dalam pusingan 16.

Tetapi, ketika Conte berkeyakinan menjelang perlawanan dengan Leverkusen itu, dia menyarankan agar Inter tidak terkilan seandainya mereka tersingkir selepas memberikan aksi terbaik.

"Kami perlu positif," katanya dalam sidang media. "Kami berusaha keras untuk mencapai sasaran itu dan ia perlu dilakukan dengan kemungkinan yang maksimum.

"Untuk melalui dari peringkat ini hingga ke akhir, kami perlu membuktikannya di atas padang.

"Kami tidak boleh merungut. Kami perlu memberikan segala-galanya.

"Jika ia mencukupi untuk kami ke separuh akhir, ke final atau menjulang trofi, kami semua akan gembira -- atau kami kami turun dengan segala yang kami ada tetapi tanpa sebarang rungutan (jika tidak berjaya)," katanya.

Ketua jurulatih itu menyedari kepadatan jadual perlawanan akan menyukarkan pasukannya tetapi Inter masih bersedia untuk menghadapinya.

"Kami akan turun selepas melalui banyak perlawanan berturut-turut dalam keadaan cuaca yang amat sukar tetapi terdapat minat yang mendalam dan keinginan untuk kami berdepan dengan cabaran ini untuk ke separuh akhir.

"Saya fikir kami semua mencuba untuk mengembalikan Inter di tempat yang sepatutnya, untuk menjadi pasukan yang berupaya memenangi trofi," tambahnya.

Bagaimanapun, bagi menewaskan Leverkusen, Inter perlu mencari jalan menyekat Kai Havertz, seorang penyerang sensasi yang sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Chelsea.

"Havertz seorang pemain dengan kualiti yang hebat.

"Dia mempunyai teknik yang hebat dan mempunyai segala-galanya untuk menempa karier yang gemilang.

"Tetapi kami berharap dia tidak dapat mempamerkannya esok," katanya lagi.