Eridivisie dan Eerste Divisie mengumumkan akan melakukan protes terhadap isu perkauman hujung minggu ini.

Setiap kelab dalam liga divisyen pertama dan kedua Belanda itu akan berdiri tegak dan tidak beraksi sepanjang seminit pertama dalam perlawanan minggu ini.

Pada masa sama, tulisan "Perkauman? Jadi kami tidak mahu bermain" akan dipaparkan di skrin stadium sebelum perlawanan dilangsungkan seperti biasa.

Bagaimanapun, masa tambahan selama seminit akan ditambah pada penghujung babak pertama.

Protes itu diadakan susulan isu perkauman yang mencemarkan perlawanan Eerste Divisie di antara Den Bosch dan Excelsior di mana pemain Excelsior, Ahmad Mendes Moreira, menjadi sasaran ejekan perkauman.

Susulan itu, Moreira, yang disokong rakan-rakannya, bertindak meninggalkan padang pada minit ke-30 sebelum pengadil menghentikan perlawanan.

Penyerang berusia 24 tahun itu menjaringkan gol selepas perlawanan bersambung dan meraikan jaringan itu dengan gaya menutup telinga di depan penyokong Den Bosch.

Ia mencetus rasa berang pengurus kelab itu, Erik van der Ven, yang melabelkan Moreira sebagai "Si kerdil yang menyedihkan" kerana cuba melakukan provokasi.

Den Bosch mengeluarkan satu kenyataan kepada Moreira, yang kemudian bertemu Van der Ven untuk menerima permohonan maaf itu.

Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB) berjanji akan menyiasat dan memburu pesalah yang melakukan tindakan itu.

"Kami mahu memastikan apa yang dilakukan benar-benar cukup dengan menyebarkan mesej itu di atas padang," kata satu kenyataan yang dikeluarkan liga berkenaan.

"Kami menyedari kepentingan 90 minit sepanjang perlawanan, jadi kami meminta KNVB untuk menambah sekurang-kurangnya seminit pada penghujung babak pertama."