Pendatang baru, Real Chukai FC mencipta kejutan mara ke final Piala Pusingan Liga Amatur Terengganu (TAL) selepas menang bergaya 3-0 ke atas juara liga, Kebilal Markless, malam tadi.

Kejayaan itu disifatkan pengendalinya, Mohd Nasuha Abdullah, sebagai pencapaian luar biasa selepas membuat penampilan sulung dalam saingan TAL musim ini.

Menurutnya, keampuhan benteng pertahanan mengawal kubu pasukan berjaya mematikan langkah pasukan lawan selain mengakui tidak menjangkakan mampu menang dengan tiga jaringan.

“Barisan pertahanan kami agak longgar ketika saingan liga. Jadi, itu yang menjadi perhatian dan saya gembira pemain-pemain menepati apa yang dimahukan.

“Disiplin serta komitmen ditunjukkan membawa kepada kemenangan ini tetapi kerja keras Real Chukai tidak akan terhenti,” kata Nasuha.

Sementara itu, pengurus Kebilal Markless, Mohd Salleh Isa, menafikan pasukannya turun terlalu yakin selaku pasukan pilihan dan akur mereka tewas kepada lawan yang lebih baik.

Jaringan awal dicipta Real Chukai juga, tambah Salleh, menjadi pemusnah pasukannya tatkala persembahan skuad bimbingannya serba tidak menjadi.

“Kami kehilangan sengat di jentera serangan. Kebangkitan dicari pada babak kedua tidak terhasil, sebaliknya pasukan lawan memperoleh gol ketiga.

“Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan kami akan memberi tentangan lagi tahun depan,” tambahnya.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Real Chukai membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi penyudah Muhammad Adhar Husin di dalam kotak penalti.

Pasukan berpangkalan di Kemaman itu kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24 yang disempurnakan Muhammad Izzan Syahmi Mustaffa.

Muhammad Adhar melengkapkan malam bergaya Real Chukai dengan gol kedua peribadi dan gol ketiga pasukannya pada minit ke-64.

Kebilal Markless terus dirundung malang terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Muhammad Shafiq Hashim dilayangkan kad merah (m-78).

Satu lagi saingan separuh akhir menemukan Pikat FA dan Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket akan berlangsung, malam ini.