Pasukan berpangkalan di Kemaman, Real Chukai FC, melengkapkan senarai empat pasukan mara ke separuh akhir Piala Pusingan Liga Amatur Terengganu (TAL) selepas menewaskan CND FC 3-0, kelmarin.

Mendahului 1-0 menerusi jaringan Muhammad Izzan Syahmi (m-7), Real Chukai FC tampil agresif dibantu kelebihan seorang pemain dalam aksi yang tertangguh sejak minggu lalu itu.

Muhammad Izzan menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-55.

Jaringan ketiga Real Chukai FC terhasil pada masa kecederaan selepas Ameer Eedhan menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Mohammad Shahrul Azizi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Mohd Nasuha Abdullah itu membuat perhitungan dengan pasukan pilihan, Kebilal Markless, dalam separuh akhir.

Mengakui tugas berat menanti juara Liga Super TAL itu, Nasuha beranggapan peluang tetap terbuka buat mereka sekiranya mengekalkan disiplin dan semangat juang yang tinggi.

Menurutnya, kelibat Muhammad Izzan akan terus ditagih untuk mengetuai jentera serangan Real Chukai FC walaupun bakal melakukan percaturan baru untuk memenuhi hasrat mara ke final.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan ini kerana telah mencapai sasaran walaupun ini penampilan sulung dalam TAL.

“Malah, kami akan membawa semangat serta kerjasama berpasukan yang tinggi untuk mengejutkan Kebilal Markless,” katanya.

Sementara itu, jurulatih CND FC, Shamsuddin Mamat, menyifatkan prestasi barisan pemainnya cukup baik meskipun perjuangan mereka berakhir dalam suku akhir.

Pencapaian menduduki tangga ketiga saingan Liga Super dianggapnya sebagai tonik terbaik bagi mempersiapkan pasukan lebih mantap untuk musim depan.

“Walaupun kami kekurangan seorang pemain, CND FC masih mampu memberi saingan kepada pasukan lawan dan kami akan bangkit selepas ini,” katanya.